Sunday, February 1, 2009

Surat Terbuka Kepada Presiden FAM

Kepada:
Presiden
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun sembah patik harap diampun.

Adapun patik yang pacal dan hina ini ingin menyuarakan pandangan patik barang sepatah dua kata tentang prestasi skuad negara kita yang begitu mengecewakan semenjak akhir-akhir ini.

Tuanku,

Adapun patik berpendapat, Tuanku lah yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap prestasi skuad kebangsaan kita yg tidak memberangsangkan langsung sejak akhir-akhir ini. Ini boleh la kita ibaratkan seperti seorang ketua yang sedang mengetuai sebuah kapal, pincang kemudinya, porak perandalah kapalnya.

Sesungguhnya sebagai rakyat marhaen, patik tidak menafikan tentang sumbangan Tuanku dalam memartabatkan lagi sukan bolasepak di negara kita ini. Dibawah pimpinan Tuanku, sukan bolasepak telah diberikan satu nafas baru. FAM akhirnya memiliki kewangan yang kukuh, memiliki bangunan sendiri, Tuanku jugalah yang memperkenalkan liga semi-pro dan seterusnya liga profesional kedalam kancah bolasepak negara.

Sembah patik harap diampun, Tuanku,

Bagaimanapun, dizaman ini apa yang ingin rakyat lihat adalah keputusan. Jika dilihat dari prestasi skuad negara sejak Tuanku memegang teraju 25 tahun dahulu, tiada apa yg dapat dibanggakan. Prestasi skuad negara yang terbaik diarena antarabangsa barangkali ketika kita menjuarai Sukan SEA 1989. Kemudian, tiada apalagi yang boleh dibanggakan. Yang terbaik, barangkali muncul naib juara Piala Tiger 1996, dan kemudian 2 kali pencapaian tempat ketiga dalam kejohanan yang sama.

Dan baru-baru ini, skuad negara kita kalah lagi ditangan UAE dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2011. Sementara pasukan - pasukan jiran kita mencatatkan keputusan yang memberangsangkan (Indonesia 0 - 0 Australia, Thailand 0 - 0 Iran, Singapura 2 - 1 Jordan), kita pula dibelasah 0 - 5 ditempat sendiri. Ranking kita di Asia Tenggara sudah jatuh dibawah Vietnam, dan Myanmar juga sudah mampu bersaing dengan negara kita sekarang. Menurut Ranking FIFA setakat Disember 2008, Malaysia kini berada di ranking 158 daripada 208 anggota. Bermakna hanya 50 negara sahaja yang berada dibawah kita. Myanmar juga berada di ranking ke-156! Sebagai perbandingan, Thailand berada diranking ke-124, Singapura (135), Vietnam (138) dan Indonesia (144). Berani lagi kita menggelar Korea Selatan sebagai musuh tradisi!

Sepuluh jari disusun, Tuanku,

Ditambah lagi dengan kehangatan Liga-M yang semakin suram, tiada kemeriahan lagi yang dapat dirasakan, apabila purata kehadiran penyokong ke stadium dibawah 5000 satu perlawanan. Kehangatan suasana pertandingan seperti 20 tahun lalu tidak dapat lagi dinikmati. Belum pula diungkit dengan kemelut kewangan yang dihadapi oleh persatuan bolasepak negeri, dan juga masalah pemain tidak dibayar gaji.

Tuanku,

Sebagai seorang rakyat Malaysia, tidak teringinkah Tuanku melihat skuad negara kita beraksi di Piala Dunia? Melihat pemain skuad negara kita berarak masuk di padang, kemudian lagu Negaraku dinyanyikan, melihat rakyat, tanpa mengira bangsa dan agama, bersatu memberikan sokongan padu kepada para pemain? Tidak inginkah Tuanku melihat, rakyat jelata dengan penuh bangga menyarung jersi negara dengan nama pemain terpapar di belakang? Tidak inginkah Tuanku, melihat pemain kita beraksi dipersada antarabangsa?

Sesungguhnya Tuanku, Tuanku sudah mencuba selama 25 tahun, dan tidak dapat memberikan hasil yang diharapkan. Seperti yang patik telah katakan di awal surat ini, rakyat mengharapkan hasil dan keputusan, dan pada hemat patik, Tuanku tidak dapat memberikan hasilnya.

Oleh itu, patik menggesa supaya Tuanku meletakkan jawatan selaku presiden dan kesemua ahli jawatankuasa eksekutif FAM melakukan perkara yang sama demi memikul tanggungjawab terhadap prestasi skuad negara sekarang ini. Sudah tiba masanya untuk orang lain pula merencanakan masa depan skuad negara dan FAM.

Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah

Menulis Untuk Bolasepak Negara

Ampun Tuanku

Yang benar,

2 comments:

zubeq said...

http://www.dmanixx.blogspot.com

neo said...

nice. so tuanku balas pe? haha..